Tuesday 1 October 2013

mandai

...makanan daripada kulit cempedak yang dijeruk. Resipi orang Banjar katanya. Kawan Kak Monie yang buatkan mandai ini.

Ogos lalu, seorang kawan Kak Monie bercerita mengenai mandai dan cara membuatnya. Kebetulan seorang kawan lain baru makan cempedak malam sebelumnya. Lalu kawan tu pun menelefon anaknya supaya mengambil kulit cempedak yang telah dibungkus dalam plastik untuk dibuang. Balik dari pejabat, beliau memotong bahagian mengerutu pada kulit cempedak dan dipotong selebar tapak tangan. Di dalam balang plastik dimasukkan air suam dan garam lalu direndam kulit cempedak tersebut.

Melalui Goggle, Kak Monie dapati rata-rata menyebut kulit cempedak ini boleh dimakan selepas lima hari dijerukkan. Untuk memasaknya, keluarkan kulit cempedak sekadar yang dikehendaki, basuh dan ramas untuk mengeringkan airnya.

Cara memasak - goreng kulit cempedak yang dibasuh tadi dalam sedikit minyak sehingga kekuning-kuningan (seperti menggoreng lobak masin) dan angkat. Goreng cili kering yang dipotong sehingga garing dan angkat. Goreng bawang sehingga layu dan angkat. Campurkan kesemua bahan tadi dan siap untuk dimakan bersama-sama nasi atau bubur nasi.

Nak tau rasanya? Masam, masin dan tak siapapun akan menyangka makanan ini daripada kulit cempedak. Cubalah - sekarang ni musim cempedak.  Kalau dah mula makan maknanya kesemua bahagian buah cempedak ini boleh dimakan - isinya, bijinya dan sekarang kulitnya... mau marah lembu, kerbau he he he.

mandai 


Sebalang kulit cempedak jeruk yang diberikan kepada Kak Monie pada bulan Ogos lepas. Dah masuk dua bulan kulit cempedak ini dijerukkan. Terima kasih Azilah kerana mengusahakan proses menjeruk kulit cempedak - bagi sebalang pulak tu!

gambar bulan Ogos


Sampai hari ini Kak Monie belum cuba memasaknya (sampai dah lupa!). Insya Allah Kak Monie akan mencuba resipi ni.


TERIMA KASIH AZILAH

No comments:

Post a Comment