..
Gaharu Tea Valley
Pertama kali dengar dan tahu tentang tempat ini ketika kami singgah di kedai untuk memeriksa tayar. Kedai ini tepi jalan besar ke luar sikit daripada Tasik Cermin. Rupanya tayar kereta kurang angin: sambil itu bertanya kepada pekerja di situ tempat yang kami boleh lawati. Bagi saya kalau sebut gaharu ingat colok dan saya tertarik untuk melihat sendiri tempatnya.
Gaharu Tea Valley terletak di Gopeng dengan keluasan 300 ekar dan terdapat 200,000 batang pokok gaharu. Ladang ini merupakan ladang terbesar penanaman gaharu di dunia.
Mengenai pokok gaharu: resin.
Pokok yang mencapai umur sekitar 15 tahun akan dicederakan dengan mendril batang pokok dari bahagian bawah sampai ke atas untuk mencederakan pokok. Tujuan mencederakan pokok supaya boleh menghasilkan resin di dalam batang dan dahannya. Dahulu kala digunakan teknik membakar besi sampai panas dan kemudiannya "ditikam" pada batang pokok.
Secara semulajadi resin akan terhasil sekitar 300 tahun daripada mula ditanam. Teknik mencederakan pokok akan menghasilkan resin tetapi ini bergantung kepada pokok, ada yang boleh dituai seawal enam tahun selepas "ditikam".
Peringkat menebang/mengambil pokok gaharu ini dengan melihat kepada perubahan batang pokok seakan-akan mereput serta tiada lagi daun yang tumbuh.
Pokok yang ditebang akan diproses pengambilan resin di bahagian tengah batang dengan "mengukir" supaya resin tidak pecah. Selain itu, resin boleh didapati dalam bentuk cecair: dahan yang resinnya bukan dalam bentuk ketulan bongkah tetapi bentuk spot/ titik dalam kayu: bahagian kayu gaharu diracik dan dimasak dengan agak lama sekitar dua hari menggunakan periuk tekanan.
Harga resin bentuk blok atau serpihan ada yang mencecah ribuan ringgit manakala serbuk atau cecair ada yang bermula sekitar rm300 gm atau ml dan lebih juga bergantung pada warna.
Pokok gaharu: daun dan buah
Ranting yang berdaun dalam ukuran tertentu daripada bahagian paling tinggi pokok akan diambil. Teh biasa menggunakan hanya pucuk teh untuk diproses tetapi teh gaharu semua peringkat daun digunakan.
Daun gaharu dan buahnya akan melalui beberapa proses sebelum boleh diminum/dipasarkan. Selain itu, pokok gaharu dapat menghindar nyamuk dan di sini tidak ada nyamuk.
Khasiat kesihatan teh gaharu:
-menstabilkan gula/ diabetis
-mengawal tekanan darah
-menurunkan asid urik
-mengenyah toksin
-merendahkan kolestrol
-meningkatkan metabolism
-melegakan stres, insomnia, batuk, gastrik dan asma
Resin:
bahan dalam minyak atar/perfume.
bakar- aroma terapi.
pakai- aroma terapi: gelang, rantai, subang dll.
Lawatan ke Gaharu Tea Valley.
Mula-mula sampai kita akan melalui pintu gerbang seperti Tembok Besar Cina. Pengunjung perlu meninggalkan kereta di kawasan yang telah disediakan. Pergerakan seterusnya hanya menggunakan van disediakan dengan bayaran RM13.00 dewasa, RM8.00 kanak-kanak. Rombongan murid sekolah RM5.00 manakala untuk OKU percuma. Semasa membeli tiket pengunjung akan diberi seuncang teh serta makanan ikan. Penerangan diberikan oleh rakaman suara dari dalam van atau penerangan daripada pemandu. Kami pilih penerangan daripada pemandu van sebab boleh berinteraksi.
Terdapat tiga hentian dan pengunjung akan dihantar ke tempat paling atas (hentian pertama) untuk melihat pemandangan pokok gaharu dalam lembah sambil menikmati tea panas & sejuk, wafel, kek, aiskrim dan lain-lain lagi yang berasaskan teh gaharu di Hill Top Cafe. Saya syor untuk menikmati aiskrim yang sangat sedap. Udara nyaman ketika kami sampai, berehat sambil minum teh gaharu dan makan aiskrim sekitar setengah jam sebelum turun.
Sambung lagi perjalanan, menaiki van ke hentian kedua: trek berjalan kaki sambil dapat melihat, memegang pokok dan daun gaharu. Di sini pokok gaharu dilukis gambar binatang seperti ikan paus, kerbau, ular, buaya, tapir dll sebagai tarikan pengunjung. Dikatakan bahawa sesorang itu sangat bertuah jika dapat memeluk pokok gaharu. Ramai memilih untuk bergambar dengan memeluk pokok yang ada lukisan banding pokok biasa.
Di sini terdapat dua buah kolam memelihara ikan. Kolam agak besar seakan sungai yang menempatkan ikan telapia. Menarik lagi ada sebuah kolam yang dibina kincir air, terdapat tiga ekor ikan arowana kuning yang mencecah harga rm10,000 seekor yang disekalikan dengan ratusan telapia dalam kolam tersebut.
Hentian ketiga pengunjung digalakkan turun supaya menikmati suasana tempat ini. Mula dengan menurun tangga, melalui trek pejalan kaki yang akan terus sampai ke kawasan letak kereta. Sepanjang trek ini terdapat gua buatan, air terjun, lukisan mural gajah di dinding dan pintu gerbang,
Menariknya di hentian ini ialah pokok yang dinamakan "Pokok Cinta" berusia 200 tahun terdiri daripada dua batang pokok merbau dan ara. Kedua-dua pokok nampak seolah-olah seperti saling berpelukan. Selain itu, terdapat juga air terjun, lukisan di dinding tentang perlombongan bijih timah, sarang kelulut dan pintu gerbang. Sekitar 20-30 minit berjalan kaki untuk sampai ke tempat letak kereta.
Selesai lawatan pengunjung akan merasa teh gaharu asli dan juga teh gaharu yang dicampur dengan buah gaharu.
Apa rasanya? Rasa teh tawar, tidak pelik dan boleh diterima tekak cuma teh yang dicampur buah garahu ada sikit kelainan tapi masih boleh diterima rasanya.
Hoga Deli: kafe yang menjual aiskrim, teh, wafel, telur herba, kebanyakan makanan yang berasaskan daun gaharu selain menjual makanan berat kepada pengunjung.
Hoga Mart: kedai menjual barangan daripada daun gaharu - pelbagai teh gaharu, teh buah gaharu, kopi, mi kering, kerepek, biskut, bantal, topeng mata dan sebagainya
Manakala kosmetik berasaskan teh gaharu seperti balm bibir, losyen, sanitizer.
Resin juga dijadikan perhiasan seperti rantai, gelang, subang dan resin cecair yang dibuat minyak atar.
Di dalam Hoga Mart ini terdapat sebuah bilik pameran yang mempamerkan pelbagai bentuk resin. Yang paling menakjubkan ialah dua bongkah resin yang besar dan panjang sekitar dua depa. Selain itu, di sini resin dijual dalam pelbagai saiz, serpihan dan juga serbuk selain alat pembakar seperti bokor, oud dan ceramik.
Rezeki kami dapat berjumpa dengan tuan punya tempat ini iaitu Mr. David Ho sedang merarau sambil menikmati secerek kecil teh gaharu.
Mr. David beritahu kami seorang penyelidik Jepun yang membawa masuk 200 anak pokok gaharu ke sini. Pokok ni telah dikacuk (hybrid) beberapa kali dengan melalui pelbagai proses sebelum daun dan buahnya boleh dijadikan minuman. Daun pokok gaharu yang ada di dalam hutan tidak boleh dibuat minuman kerana akan
memudaratkan organ dalaman contohnya buah pinggang.
Selain mengusaha gaharu Mr. David juga mempunyai perniagaan jentera berat yang beroperasi di Simpang Pulai.
Mr. David berusia 72 tahun mula mengusahakan gaharu tahun 1992 ketika berumur 38 tahun. Beliau membuat pemeriksaan kesihatan dan dimaklumkan untuk umur sebenarkan dibanding dengan kesihatan beliau selayaknya bersamaan dengan orang berumur 43 tahun. Mr. David telah 30 tahun mengambil teh gaharu ini.
Beliau mempunyai 3 orang anak serta 11 orang cucu.
Orang Jepun yang melakukan penyelidikan daun gaharu telah menggalakkan Mr David untuk mengusahakan teh gaharu ini. Mr David telah menghasikan lebih 30 jenis produk menggunakan penyelidikan yang dilakukan oleh orang Jepun dan akan ada lagi produk yang akan dipasarkan.
Pada awalnya beliau tidak yakin dengan pokok gaharu, beliau ingin mengusahakan kelapa sawit. Setelah diyakinkan bahawa gaharu ini sangat baik untuk kesihatan lebih lagi daripada untuk mengaut keuntungan akhirnya Mr. David setuju. Beliau berasa bangga dapat membuat sesuatu untuk negeri Perak dan untuk menjadi Perak terkenal dengan gaharu. Penduduk tempatan dapat manfaat bekerja di ladang ini. Sekitar 30 penduduk tempatan serta 10 warga asing yang berkerja di sini.
Bagi orang Perak, ini khazanah alam yang dapat menjadikan Perak terkenal yang berkaitan dengan kesihatan, insya Allah.
Mengenai orang Jepun yang disebut oleh Mr. David, beliau menganggapnya seperti bapa sendiri masih hidup dan kini berusia 123 tahun.
Wallahuaqlam


















































No comments:
Post a Comment